Thursday, May 28, 2009

Mantan HEP di Ikim.Fm


Kuala Terengganu, 29 Mei - Mantan Hal Ehwal Pelajar Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah(KUDQI), Ustaz Mohd Noor bin Hamzah telah ke udara di radio IKIM semalam. Beliau bersama-sama al-Fadhil Ustaz Riduan Mohd Nor dijemput oleh radio tersebut untuk mengulas tentang sejarah dan kronologi perjuangan Islam.

Al-fadhil ustaz Mohd Noor yang juga ADUN Bukit Payung dan Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu pada sesi ini ketika ditanyakan soalan tentang kombinasi Ulama' dan Profesional yang berada dalam perjuangan, beliau menjawab bahawa setiap manusia ada batasnya dan ada kelebihannya. Masing-masing ada kelebihannya, jadi kelebihan itu hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya. Beliau mengakhiri ucapan tersebut dengan membaca hadis Nabi s.a.w :

خياركم في الجاهلية، خياركم في الإسلام إذا فقهوا

Orang yang terpilih di kalangan kamu pada masa Jahiliyyah akan terpilih juga di zaman Islam jika mereka itu Faqih

Sunday, May 24, 2009

Pengarah KUDQI Menerima Rawatan Di HSNZ

Kuala Terengganu, 23 Mei 2009 - Pengarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, al-fadhil ustaz Mahmud bin Sulaiman kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah kira-kira dua hari lalu akibat serangan kencing manis. Beliau dimasukkan ke hospital selepas peningkatan paras gula dalam darah yang begitu tinggi. Sebelum itu beliau juga pernah membuat rawatan akibat kecederaan di kaki.

Ketika ditemui semalam, beliau sudah beransur sihat. Paras gula dalam darah juga menunjukkan penurunan mendadak. Kami dari warga www.mpmkudqi.blogspot.com mendoakan agar beliau cepat sembuh dan dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa. SyafahuLlah Syifaa'an A'jila.

Sambutan Hari Guru Peringkat KUDQI

Kubang Lembek, 24 Mei 2009 - Majlis Perwakilan Mahasiswa KUDQI telah berjaya menganjurkan majlis sambutan hari guru peringkat kolej semalam. Presiden MPMKUDQI ketika ditemui semalam berkata, objektif sambutan hari guru ini adalah sebagai mengenang jasa guru-guru dan pensyarah yang tidak pernah jemu memberikan tunjuk ajar dalam melahirkan manusia yang muslim dari akidah, akhlak dan ilmunya. "Tak bermakna bila kita sambut hari guru, hari ini saja kita hormat guru. Hari-hari lain pun kami turut menghormati guru kami" katanya lagi.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari wakil Tuan Pengarah KUDQI iaitu Timbalan Pengarah, Ustaz Soud Said. Al-fadhil ustaz Mahmud tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan dari bahagian Hal Ehwal Pelajar yang menekankan tentang peraturan dan sikap yang perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar jika mereka benar-benar merasakan nikmat keberkatan dalam menghormati guru-guru.

Majlis bertambah meriah dengan persembahan dari pelajar-pelajar. Mahasiswa tahun 1 mendendangkan nasyid yang bertajuk Guruku iaitu lagu yang pernah dipopularkan oleh Shoutul Amal manakala tahun 2 menghantar seorang wakil dengan lagunya Cinta Agung dan tahun 3 pula mendeklamasikan sajak yang bertajuk Guru Oh Guru nukilan Usman Awang.

Majlis berakhir dengan penyampaian saguhati, tayangan video dan jamuan. Hadirin beredar dari dewan kira-kira jam 12.50 tengahari.

Sunday, May 17, 2009

Liqa’ Mahabbah

Kubang Lembek, 17 Mei – MPMKUDQI telah mengadakan suatu prorogram , iaitu Liqa’ Mahabbah di Dewan Besar KUDQI pada pukul 9.30 malam. Program ini melibatkan mahasiswa dan mahasiswi KUDQI. Prrogram ini diadakan bertujuan untuk bermuhasabah diri mahasiswa, MPM dan HESIS, dan pentadbiran KUDQI.

Program ini turut dihadiri oleh dua orang pensyarah KUDQI, iaitu Ustazah Asma dan Ustazah Atikah. Semasa program berlangsung berbagai-bagai permasalahan diajukan dan diselesaikan dengan baik oleh semua pihak. Antara nasihat Ustazah Atikah ialah teguran tentang perbuatan buruk yang dilakukan oleh sesetengah pihak adalah benar dan teguran yang baik harus diterima.

Diharapkan agar muhasabah ini dapat menyedarkan semua mahasiswa tentang hal-hal yang berkaitan seperti memperbaiki akhlak, hormat orang tua, menjaga aurat, ikhtilat, optimis dalam pelajaran, kerjasama dan sebagainya. Sebagai penuntut agama, kita sewajarnya mencontohi Saidina Umar yang berani menerima teguran kerana kesalahannya daripada seorang wanita padahal pada masa itu dia seorang amirul mukminin.

Sesungguhnya kita tidak terlepas daripada tugas-tugas amar makruf nahi mungkar. Tugas ini adalah suatu amanah daripada Allah dan mesti dilakukan dengan berterusan. Ingatlah kita bahawa ketika di akhirat nanti Allah akan menyoal segala aktiviti kita di dunia sama ada hal kebajikan atau kejahatan.

Perasmian Program Sukan dan Kebudayaan

Kubang Lembek, 17 Mei – Pada pukul jam 12.30 tengah hari, seperti biasa waktu itu bagi mahasiswa KUDQI ialah waktu tamat kelas. Jadi, waktu yang singkat itu telah dimanfaatkan oleh lajnah Sukan dan Kebudayaan untuk mengadakan suatu majlis perasmian bagi program “Minggu Sukan dan Kebudayaan”.


Majlis itu bermula apabila semua mahasiswa KUDQI telah berkumpul di Dewan Besar KUDQI. Acara dimulakan dengan kata-kata aluan dan pembukaan surah al-fatihah daripada pengerusi majlis, iaitu saudara Maula. Seterusnya majlis menjemput saudara Muaz selaku Pengarah Program untuk menyampaikan ucapannya. Selepas itu, majlis menjemput Ustaz Ismail Osman untuk menyampaikan ucapan perasmian.


Dalam majlis itu, Ustaz Ismail Osman bukan sahaja merasmikan program Minggu Sukan dan Kebudayaan, bahkan merasmikan program penutup bagi tiga buah lajnah yang telah mengadakan program masing-masing sebelum ini. Antaranya ialah Lajnah Kebajikan bagi program Bulan Kebersihan dan Keceriaan, Lajnah Ekonomi bagi program Seminggu Bersama Ekonomi dan Lajnah Informasi bagi program Sayembara Kreatif.


Selepas perasmian program, acara seterusnya ialah penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang menyertai pertandingan anjuran daripada ketiga-tiga lajnah tersebut. Tujuan acara ini dihimpunkan sekaligus kerana hendak menjimatkan masa mahasiswa dan pensyarah KUDQI. Selain itu, sambutan daripada mahasiswa bagi majlis ini adalah sangat baik dengan suasana yang meriah, hidup dan lebih harmoni.


Walau bagaimanapun bentuk sesuatu majlis itu diadakan, perkara yang lebih penting ialah sentiasa saling mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain, bekerjasama dan lain-lain bagi menjayakan program di samping tetap menjaga batas-batas syariat al-Quran dan hadis. Semoga setiap aktiviti yang dilakukan mendapat keredhaan Allah serta balasan baik daripada-Nya.

Saturday, May 16, 2009

Perkara yang dilupakan

عَنْ أَبِي عَمْرُو وَقِيلَ أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ، قُلْتُ يَا رَسُوْلُ اللهِ: قُلْ لِيْ فِيْ الإسْلامِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ، قَالَ: قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ – رَوَاهُ مُسْلِمٌ.

Maksudnya: Dari Abi Amru dan ada dikatakan pula daripada Abi Amrah Sufyan bin Abdullah radiyallahu anh katanya: Kataku, Ya Rasulullah! Katakanlah kepada tentang Islam satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya seorang yang lain daripada engkau. Sabdanya: Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah. Diriwayatkan oleh Muslim.

  Jika dia seorang pelajar rutin hariannya ialah belajar, jika dia seorang pekerja dia tetap dengan kerjanya setiap hari. Begitu juga dengan orang yang berjuang. Kita juga termasuk dalam golongan ini. Kita memperjuangkan tujuan, matlamat, misi dan sebagainya yang ada kaitan dengan hidup kita sehingga berjaya. Namun, kita tidak boleh terlepas pandang atau memandang remeh dengan satu perkara ini, iaitu istiqamah. 

  Semasa kita sedang sasyik dengan kerja-kerja kita adakalanya kita terlupa bahawa kita tidak beristiqamah untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya kita lakukan. Istiqamah sangat penting dalam hidup kita supaya kita tidak tersasar dengan matlamat hidup kita yang sebenar.

  Biarpun sesuatu amalan itu dilakukan sedikit tetapi biarlah berterusan. Itulah yang lebih baik. Kita buat mengikut kadar kemampuan atau keadaan atau potensi diri kita. Jika terlebih had yang sepatutnya takut-takut kita akan cepat rebah awal. Akhrinya, kita malas melakukan dan terus meninggalkan amalan tersebut.

  Istiqamah itu beerti lurus dan Rasulullah sangat menyukai umatnya yang tekun dan teguh dalam iman dengan menuruti tuntutannya, pengertiannya dan hakikatnya yang sebenarnya pada bila-bila masa. Istiqamah itu wujud pada hati seseorang yang bersih daripada unsur-unsur yang menodainya atau menganggu tauhidnya sehingga dia menjadi orang mukmin yang setia. Natijahnya, daripada iman timbul istiqamah, bahkan atas imanlah didasarkan istiqamah.

Monday, May 11, 2009

Lawatan Ilmiyyah Ke Mahkamah Syariah Negeri


Antara peserta-peserta lawatan ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu

K. Terengganu 11 Mei - Lajnah Akademik telah berjaya membuat lawatan ilmiyyah ke Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu pada pagi ini. Peserta-peserta lawatan terdiri dari ahli jawatankuasa Lajnah Akademik dan pelajar-pelajar tahun 3.

Masing-masing menyatakan rasa berpuas hati dengan penerangan dan pendedahan yang dibuat oleh pihak jabatan tersebut. Encik Rosdi yang menyambut ketibaan peserta-peserta mengharapkan agar segala yang disediakan pihaknya dapat memuaskan hati peserta-peserta lawatan.

Pengarah program ketika ditemui berkata, objektif program yang diharapkan pihak lajnah ialah dapat membuka minda pelajar-pelajar KUDQI dan juga membantu mereka dalam setiap matapelajaran yang berkait dengan prosedur dan peraturan mahkamah.

Rombongan tiba pada jam 9 pagi dan berangkat pulang pada jam 12.45 tengahari.

Sunday, May 10, 2009

Pengenalan HPA


Pada 10 Mei 2009, Lajnah Ekonomi telah mengadakan program pengenalan HPA. Program tersebut bermula pada pukul 9.30 malam. Program itu juga merupakan salah satu program yang terdapat dalam program Seminggu Bersama Ekonomi (SBE) yang sedang dijalankan sekarang dan hari penutupnya pada hari Rabu ini.
Program Pengenalan HPA ini telah disampaikan oleh dua orang penceramah, iaitu En. Mohd Arif dan Cikgu Nawi. Tujuan program ini adalah untuk menerangkan tentang produk makanan dan barangan halal dan haram kepada mahasiswa. Pada masa ini kita sering digemparkan dengan produk makanan dan barangan yang haram dan was-was digunakan untuk umat Islam di Malaysia khususnya. Oleh sebab itu, HPA telah memainkan peranan dalam mengeluarkan barangan yang halal dan selamat digunakan kepada pengguna Islam.
Sebagaimana terdapat dalam hadis nabi yang bermaksud sesungguhnya halal itu jelas dan haram itu jelas dan di antara kedua-duanya adalah syubhat. Jadi, adalah wajib kepada kita menjaga makanan, pakaian dan apa-apa yang berkaitan dengan keperluan kita daripada sumber-sumber yang halal. Perlu diingat bahawa Allah tidak menerima doa orang yang darah dagingnya bercampur dengan sumber yang haram.