Tuesday, December 22, 2009

Keuntungan Bagi Orang Yang Berjuang


يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (۱۰) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنتُمْ تَعْلَمُونَ (۱۱) يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (۱۲) وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرْ الْمُؤْمِنِينَ (۱۳) يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآَمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ (۱٤)

10. Wahai orang-orang yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan yang besar.

13. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (Masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

14. Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

[Ash-Shaff: 10-14]

Semoga dengan sedikit keterangan tentang ayat di atas kita mendapat intipati dan iktibar.

Kehidupan di dunia ini sementara. Jadi, kita kena buat pilihan. Kita ada dua pilihan, iaitu nak jadi baik atau jahat. Pilihlah yang mana satu kita nak jadi.

Allah dah tunjukkan jalannya untuk jadi orang baik. Allah dah ajar kepada kita. Allah dah turunkan wahyu-Nya yang disampaikan oleh wakilnya, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Dengan berpandukan wahyu-Nya kita akan selamat di dunia dan di akhirat.

Kehidupan kita tak terhenti setakat dunia tapi sampai akhirat. Tempat yang kekal abadi. Oleh hal yang demikian, nak jadi orang baik agar kita selamat di dunia dan di akhirat kita mesti beriman kepada Allah dan berjihad pada jalan Allah. Perkara-perkara ini menjadi titik tolak kepada kita untuk mendapat keredhaan Allah.

Inilah perjuangan hidup kita. Dalam berjuang kita mesti banyak bersabar. Kena tempuh banyak ujian, dugaan dan rintangan.

Perkara yang paling penting ialah setiap kerja buat mestilah ikhlas kerana Allah. Kerja tanpa ikhlas adalah sia-sia. Jadi, letakkan ikhlas di tempat yang paling tinggi dalam hati kita.

Oleh yang demikian, disebabkan kita meyakini bahawa adanya kehidupan di akhirat maka ketika di dunia ini banyakkanlah beramal. Semoga segala gerak kerja dan usaha kita semasa berjihad ini akan menjadi bekalan amalan kita di akhirat nanti. Kesusahan dan kepayahan yang kita tempuh pada masa ini akan digantikan dengan ganjaran yang terbaik di sana iaitu syurga, sepertimana yang dijanjikan oleh Allah pada ayat di atas.

Sesungguhnya nikmat syurga sangatlah indah dan banyak. Tempat yang sangat bahagia dan kekal abadi. Jadi, terpulang kepada kita hendak membuat pilihan sama ada memilih jalan syurga atau neraka. Pilihan di tangan kita. Tepuk dada tanya iman. Jika memilih untuk ke syurga maka bersiap sedialah untuk berjuang yang banyak dengan onak dan duri. Teruskan perjuangan!

Saturday, December 12, 2009

Peranan Penuntut Ilmu Sebagai Pejuang Islam

Orang-orang yang berilmu ialah orang yang ditinggikan darjatnya oleh Allah. Mereka tidak sama dengan orang jahil. Orang alim merupakan orang yang takut kepada Allah. Oleh hal yang demikian, orang alim akan sentiasa berusaha untuk mentaati segala perintah-Nya. Mereka adalah harapan bagi semua manusia supaya dapat dipimpin ke jalan yang diredhai-Nya kerana mereka pewaris Nabi s.a.w yang meneruskan perjuangan Islam. Bagi merealisasikan kerja-kerja ini penuntut ilmu mestilah menjalankan peranannnya sebagai pejuang Islam.

1. Perkara pertama yang perlu disedari oleh penuntut ilmu yang berperanan sebagai pejuang Islam ialah niat menuntut ilmu. Adapun niat itu berniat semata-mata hendak mencari keredhaan Allah supaya memperoleh pahala di akhirat, menghilangkan kejahilan daripada dirinya dan daripada seluruh orang yang jahil, menghidup dan menegakkan agama Islam. Ini kerana Islam dapat dikekalkan dengan ilmu yang juga merupakan roh Islam.

Sekiranya sebelum ini terleka sehingga niat suci menuntut ilmu berubah dan tersasar kepada material, maka ubah, perbaiki dan perbaharuilah niat yang sebenar dengan segera. Sesungguhnya perkara yang baik harus disegerakan. Jika bertangguh bimbang lupa untuk melaksanakannya. Penuntut ilmu mestilah sedar tentang matlamat mereka yang sebenar dengan jelas, iaitu menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh dan kemudian mengajarkan ilmu.  

2. Perkara kedua ialah penuntut ilmu merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menjadi penggerak, pemimpin dan sebagainya bagi gerakan Islam. Oleh itu, kegiatan yang dijalankan tentunya dengan cara berdakwah kepada masyarakat. Penyampaian dakwah kepada masyarakat menjadi lebih berkesan sekiranya masyarakat dapat menerima pendakwah tersebut. Sehubungan dengan itu, aspek yang mesti dijaga oleh penuntut ilmu ialah akhlak yang mulia. Hal ini kerana masyarakat sentiasa memerhati dan menilai tingkah laku sama ada baik untuk dijadikan contoh teladan.

Selain itu, aspek menjaga akhlak yang mulia ini akan wujud pada diri apabila ilmu yang dipelajari itu diamalkan dengan bersungguh-sungguh. Contohnya, solat lima waktu secara berjemaah di musolla dengan istiqamah akan menjadikan seseorang itu berdisiplin khususnya dalam menepati masa. Pendakwah yang beramal dengan ilmunya ialah orang yang menzahirkan perbuatannya daripada percakapannya, maksudnya melaksanakan perkara-perkara yang diucapkannya. Dengan itu dia termasuk dalam golongan orang yang berkata benar. Walau bagaimanapun, menjadi orang yang pemula untuk beramal  soleh adalah lebih baik daripada menyuruh orang berbuat baik terlebih dahulu kemudian barulah dia hendak beramal.

3. Ketika belajar sudah tentu penuntut ilmu akan terlibat dengan persatuan pelajar. Melibatkan diri dalam persatuan samalah seperti berdakwah dalam suatu gerakan jemaah Islam. Setiap penuntut seharusnya berfikiran atau berminda positif  untuk melibatkan diri atau aktif dalam persatuan. Jangan menganggap ini sesuatu yang membebankan. Biasalah apabila terlibat dengan persatuan maka masa kehidupan seharian akan digunakan untuk kerja-kerja persatuan mungkin dalam beberapa ketika atau sepenuh masa. Maklumlah, perjuangan Islam itu bukan untuk jangka pendek tetapi berpanjangan. Hal ini tidak akan selesai melainkan telah sampai penghujung hayat kita. Itu pun tugas-tugas tersebut akan diambil alih oleh orang lain. Perjuangan Islam ini mempunyai mata rantai yang bersambung hingga hari qiamat. Kini, tiba giliran kita pula untuk meneruskan kerja-kerja orang terdahulu.    

Natijahnya, berpersatuan merupakan persediaan awal bagi seorang pendakwah untuk menghadapi pelbagai ujian. Sekiranya kita dipilih sebagai pemimpin pelajar maka ini sebenarnya peluang yang diberi oleh Allah untuk menjadi ketua yang beramanah. Berpersatuan juga mempunyai pelbagai kelebihan antaranya seperti melatih diri untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara, mengasah bakat kepimpinan supaya apabila keluar di gelanggang masyarakat pendakwah itu terbiasa dengan keadaan semasa dan melatih diri untuk bersabar maka inilah peluang untuk mendapat pahala yang banyak.

Sebagai penutup bicara, hendak ditegaskan sekali lagi bahawa penuntut ilmu berperanan sebagai pejuang Islam. Ini ialah amanah yang mesti dijaga dan masing-masing mesti berasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Sekian, Wallahua’lam.

Selamat Bertugas!

Sudah hampir sebulan lebih Mesyuarat Agung MPM KUDQI 08/09 kali ke-8 berlalu. Mesyuarat yang berlangsung pada 3-4 November 2009 itu diharapkan memberi kesan yang positif ke arah merealisasikan perubahan bagi memantapkan segala gerak kerja pentadbiran KUDQI, MPM sendiri dan mahasiswa. Semasa mesyuarat itu berlangsung kelihatan warga KUDQI menginginkan perubahan.

Kehangatan isu-isu yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut kini mungkin sudah reda dan yang pastinya pelaksanaan kerja-kerja persatuan diuruskan oleh MPM & HESIS yang baru. Semoga perancangan baru yang tercetus daripada mesyuarat agung tidak seperti hangat-hangat tahi ayam.  Sungguhpun demikian, perlantikan MPM & HESIS yang baru juga sudah sebulan berlalu. Jadi, segala gerak kerja masih dalam perancangan.

Adapun dengan blog ini, sudah sekian lama menyepi tanpa artikel yang baru. Oleh itu, penulis ingin memohon maaf! Dan ucapan terima kasih kepada pengunjung yang menegur dan memberi pandangan. Segala kesilapan, kekurangan, dan kelemahan yang terdapat dalam blog ini akan diperbaiki sedikit demi sedikit insya-Allah. Hal ini kerana perubahan yang hendak dilakukan memerlukan keadaan yang stabil dan tenang ibarat menarik rambut dalam tepung biar berhati-hati, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Oleh hal yang demikian, Pada hari Khamis, 10 Desember 2009 baru-baru ini, suatu majlis penyerahan watikah perlantikan MPM & HESIS KUDQI 09/10 telah diadakan. Watikah ini telah disampaikan oleh Ustaz Kamaruzzaman, HEP KUDQI disaksikan oleh mahasiswa KUDQI. Majlis berlangsung selepas solat zohor di musolla.

Sebelum itu, majlis ini telah disertai dengan perjumpaan mahasiswa bersama HEP. Banyak nasihat dan teguran diberikan daripada ustaz supaya kesilapan dan kelemahan dapat diperbetulkan yang melibatkan sahsiah, disiplin, akhlak, kebersihan dan akademik.

Akhir kata, semoga semua MPM & HESIS 09/10 dapat menjalankan amanah dengan baik dan bertanggungjawab. Laksanakanlah setiap tugas yang diberikan. Ingatlah bahawa menjadi pemimpin bukan mendapat kemuliaan tetapi tanggungjawab. Dalam pada itu sentiasalah bersabar. Selamat bertugas!

Tuesday, October 20, 2009

Liqa' Aidilfitri


Baru-baru ini MPM & HESIS KUDQI telah mengambil kesempatan daripada bulan Syawal yang berbaki untuk mengadakan suatu Majlis Liqa’ Aidilfiri. Majlis ini diadakan pada hari Khamis yang bertarikh 14 Oktober 2009. Majlis bermula pada pukul 9.00 pagi dan selesai pada jam 12.30 tengah hari.

Majlis dihadiri oleh mahasiswa/siswi KUDQi, para pensyarah, guru-guru sekolah DAR, bekas pelajar KUDQI dan beberapa orang kampung yang rapat dengan KUDQi. Majlis ini dirasmikan oleh Ustaz Kamaruzzaman.

Antara acara yang menarik ialah persembahan pelajar, ucapan raya daripada bekas pelajar KUDQI yang belajar di perantauan, panggung raya dan lain-lain. Overall majlis ini meriah.



 "Aidilfitri Dirai Ukhuwah Dirahmati"

Saturday, October 3, 2009

Kuliah Bermula






Diucapkan Kepada Semua Mahasiswa/siswi KUDQI Selamat Memulakan Pengajian Bagi Sem Baru
 


Wednesday, August 19, 2009

Konvokesyen Kali Ke-7

Tahniah diucapkan kepada semua graduan!


Pada hari Jumaat bersamaan 14 Ogos 2009 yang lalu, Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) telah megadakan suatu Majlis Konvokesyen Kali ke-7. Majlis ini dihadiri oleh para graduan, para pensyarah dif-dif jemputan. Antara dif-dif jemputan yang hadir seperti Pegawai-pegawai Kanan Kolej, Wakil-wakil IPTA/IPTS dan tetamu VIP. Namum, majlis konvokesyen pada kali ini tidak dihadiri oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Hj. Awang untuk merasmikan majlis kerana pergi ke Permatang Pasir bagi pengisytiharan nama calon.


Majlis bermula pada pukul 3.15 petang selepas semua graduan, pensyarah dan dif jemputan berarak masuk ke Dewan Besar KUDQI. Majlis dipengerusikan oleh Al-Fadhil Ustaz Kamaruzzaman. Majlis seterusnya menjemput YB. Dato’ Tuan Guru Haji Harun bin Taib selaku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat merangkap Pengerusi KUDQI sebagai pengganti YB. Dato’ Seri Tuan Guru Presiden untuk pengisytiharan majlis konvokesyen bermula.


Majlis seterusnya disusuli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh Saudara Mohammad Najib b Ibrahim, ucapan alu-aluan daripada Pendaftar KUDQI iaitu Al-Fadhil Ustaz Hj. Ismail Osman, dan ucapan daripada Ustaz Hj. Mahmood bin Sulaiman selaku Pengarah KUDQI.


Selepas itu, acara penyampaian diploma kepada graduan. Pada tahun ini, penerima Anugerah Amirul Mukminin Abu Bakar As-Siddiq ialah Nurul Asma’ binti Wahap, Anugerah Imam Ibnu Kathir ialah Nor Nadrah binti Razali, dan Anugerah Imam Syafie ialah Khadijah binti Abd Munir.


Pada acara akhir pula, majlis sekali lagi menjemput YB. Dato’ Tuan Guru Haji Harun bin Taib untuk berucap dan pengisytiharan majlis konvokesyen berakhir. Majlis selesai kira-kira dalam pukul 5.30 petang. Majlis diserikan dengan sesi bergambar. Selepas minum petang semua warga dewan bersurai.


Sekalung tahniah diucapkan kepada semua Tahun Tiga!





P/s : minta maaf banyak-banyak kalau gambar kurang memuaskan.

Tuesday, August 18, 2009

Tamrin Tahun Tiga (Siri 6)

Mesyuarat Ahli Majlis KUDQI telah meminta daripada Hal Ehwal Pelajar supaya menumpukan program perkaderan yang melayakkan para pelajar KUDQI mampu mengisi kepimpinan pelajar di institusi pengajian tinggi luar Negara. Oleh itu, Hal Ehwal Pelajar telah menyusun manhaj tarbiyyah yang berobjektif dan berstrategi untuk semua pelajar di sepanjang pengajian mereka di KUDQI. Program tamrin telah disusun megikut tahap pelajar. Tamrin pelajar tahap ini merupakan satu rangkaian proses tarbiyyah yang mesti dilalui oleh para pelajar KUDQI.


Program ini diadakan pada 10 hingga 13 Ogos 2009 bersaman 20 hingga 23 Sya’ban 1430H pada hari Isnin hingga Khamis di Basung. Program ini disertai seramai 57 orang, iaitu peserta muslimin serama 23 orang dan peserta muslimat seramai 34 orang. Program ini merupakan anjuran daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM). Semua pelajar tahun 3 wajib menyertainya bagi memudahkan mereka mendapat syahadah kerana selepas program ini mereka terlibat dengan konvokesyen.


Program ini diadakan dengan objektif melahirkan pelajar yang komitmen dengan jemaah Islam, membentuk kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah Allah kepada pelajar dan memberi kefahaman tentang susun galur dan tribulasi haraki. Oleh itu, setiap pelajar tahun 3 seharusnya telah mempunyai persiapan dari segi rohani, fizikal, intelektual, emosi dan sosial. Tamrin ini merupakan sebagai suatu cabaran kepada mereka bagi melatih diri yang bukan sahaja berbentuk teori malah praktikal supaya mereka dapat membuat gambaran awal tentang cabaran kehidupan sebagai pendakwah, kegiatan dalam jemaah Islam, perjuangan Islam dan lain-lain walau di mana-mana jua mereka berada termasuklah ketika belajar di luar negara. Mereka juga perlu sedar bahawa perjuangan Islam tidak berhenti setelah tamat belajar.


Aktiviti tamrin ini lebih banyak melibatkan latihan dalam kumpulan (LDK) dan aktiviti luar. Pada kali ini pengisiannya boleh dikatakan memerlukan komitmen yang tinggi dan jitu, tidak santai seperti tahun lepas. Berikut antara aktiviti penting yang terdapat dalam Tamrin Tahun 3 (Siri 6):


Isnin bersamaan 10 Ogos 2009

  • Sampai di tempat program.
  • Taklimat program.
  • Slot Ta’ruf.
  • Perasmian program yang disampaikan oleh Ustaz Kamaruzzaman yang betajuk Konsep U’budiyyah.
  • Tadabbur Surah Al-Isra’.

Selasa bersamaan 11 Ogos 2009

  • Qiamullail (aktiviti wajib sepanjang program tamrin ini). Peserta dikehendaki bangun seawal 4.00 pagi.
  • Pada pukul 9.30 pagi, kertas Kerja 1 yang bertajuk Konsep Amal Jamai’ dan Ijtima’ disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Mohd Noor Hamzah.
  • LDK 1. Berbentuk debat dengan tajuk Masalah Sosial, Punca Siapa? Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, iaitu remaja bermasalah, ibu bapa, pendidik, NGO dan kerajaan.
  • Setiap kumpulan boleh pro atau kontra mana-mana pihak. Boleh dikatakan slot ini hangat sekali. Masing-masing mempertahankan hujah dan buah fikiran mereka.
  • Selepas solat Isyak, kertas Kerja 2. Tajuknya ialah Halangan dan Rintangan dalam Perjuangan. Penceramah bagi kertas kerja ini ialah Al-Fadhil Ustaz Azman Syafawi.
  • Tadabbur Surah Al-Isra’.

Rabu bersamaan 12 Ogos 2009

  • Qiamullail.
  • Kertas kerja 3. Tajuknya ialah Tarbiyyah Jihadiyyah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Nik Zawawi pada pukul 9.00 pagi.
  • Seterusnya ialah LDK 2. Aktiviti menjual barangan dagangan. Terdapat 2 kumpulan menjadi peniaga dan pelanggan manakala satu kumpulan lagi menjadi pemerhati. Motifnya adalah untuk meilhat cara peserta mempromosikan Islam kepada umum secara tersiratnya daripada simbolik aktiviti tersebut.
  • Selepas itu, tayangan video.
  • Pada sebelah petangnya, peserta muslimat pergi mengendalikan usrah di tempat-tempat yang ditetapkan sekitar kawasan Hulu Terengganu. Manakala peserta muslimim membuat persediaan untuk memberi kuliah selepas maghrib di surau yang ditetapkan, iaitu seorang peserta bagi sebuah surau.
  • Setiap peserta muslimin ke surau masing-masing seperti yang ditetapkan untuk memberi kuliah selepas maghrib.
  • Pada malam ini, tiada apa-apa aktiviti. Semua peserta rehat untuk aktiviti kembara malam.

Khamis bersamaan 13 Ogos 2009

  • Pada pukul 2.00 pagi setiap pesereta diminta bersiap-siap untuk aktiviti kembara malam. Lokasinya bermula selepas simpang hendak ke Tasik Kenyir hingga ke suatu tempat rehat sebelum ke Tasik Buih. Jarak perjalanan kira-kira 3 kilometer. Alhamdulillah, semua peserta selamat sampai kira-kira dalam pukul 4.00 pagi.
  • Selepas itu, kami qiamulllail dan solat Subuh bersama di situ.
  • Solat Subuh diimami Ustaz Kamaruzzaman, selepas itu beliau menyampaikan tazkirah.
  • Pulang dan rehat.
  • Perasmian penutup disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Saiful Bahri Mamat dengan tajuk Jihad Jalan Kami pada pukul 8.30 pagi.
  • Penutup program diserikan dengan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan.
  • Gotong-royong dan pulang ke KUDQI. Alhamdulillah, program selesai dalam pukul 10.00 pagi.

Alhamdulillah, sejak dari program ini bermula hingga penutup banyak ilmu dan pengalaman diperoleh. Di samping itu, dapat merasai pengalaman pahit dan manis. Bagi MPM dan HESIS ini merupakan pengalaman pertama mengendalikan program yang pesertanya terdiri dariapda tahun 3. Sebagai junior, kami berasa kekok hendak memprogramkan senior.


Akhir kata, tahniah kepada tahun 3 kerana antum semua berjaya mengikuti program ini! Tidak lupa juga ingin memohon maaf jika terdapat kesalahan dan kesilapan daripada segi pertuturan mahupun perbuatan yang kami lakukan sepanjang mengendalikan program. Kami doakan antum berjaya dan sejahtera hidup di dunia dan di akhirat. Kami meminta agar antum juga mendoakan kejayaan dan kesejahteraan hidup kami.


Yang mula tentu ada akhirnya...gambar selepas majlis penutup