Monday, April 20, 2009

Jamuan dana MPMKUDQI


Pada 17 April 2009, hari Jumaat yang lalu MPM KUDQI telah mengadakan Progam Dana di Perkarangan masjid Rusila. Sebelum hari program berlangsung semua mahasiswa KUDQI dikehendaki berada di Rusila pada petang khamis bagi melicinkan persiapan program tersebut. Alhamdulillah mereka memberi kerjasama.

Program tersebut diadakan untuk menambahkan lagi dana MPM KUDQI yang akan digunakan untuk menjaga kebajikan semua mahasiswa, menampung perbelalanjaan program yang seterusnya, membiayai keperluan pendidikan mahasiswa dan lain-lain. Dana yang kukuh dalam sesebuah organisasi adalah penting bagi melicinkan gerak kerja program.

Pada hari kejadian, program itu berjalan dengan lancar walaupun pada mulanya ada masalah sedikit tetapi dapat diselesaikan dengan baik. Program bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pada pagi itu ramai orang datang menjamu selera sehingga pihak kami tidak cukup tangan hendak menguruskan kerja-kerja menyediakan hidangan. Alhamdulillah, majlis ini memang mendapat sambutan yang baik .

Kesimpulannya, program itu sangat bermanfaat kepada semua. Selain itu, memberi pengalaman yang berharga kepada kami semua dalam menguruskan majlis seperti ini.

Monday, April 13, 2009

Sayembara kreatif




Pihak lajnah informasi sedang mengadakan program sayembara kreatif,program ini telah bermula pada 7 april 2009 dan akan berakhir pada 7 mei 2009. Tujuan program ini adalah untuk mengasah bakat yang ada pada mahasiswa kudqi. sehubungan dengan itu juga,program ini juga bertujuan untuk menunjukkan daya saing saing diantara mahasiswa itu sendiri,sesuai dengan tema sayembara kreatif tahun ini "kreatif,kritis dan berdaya saing"


program ini diwajibkan bagi setiap kelas untuk menyertai pertandingan ini dan terbuka kepada mana-mana mahasiswa yang ingin menyertai secara individu...antara yang di pertandingkan ialah :- Pantun,Sajak,Cerpen,Khat,komik dan sebagainya termasuk yang wajib dibuat oleh setiap kelas ialah slide show dan merekacipta ogo tinta siswa.

Sunday, April 12, 2009

Kata-kata aluan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Kami harap anda semua sihat-sihat belaka. Sekian lama blog ini tidak aktif kerana ada masalah teknikal. Kini, insya-Allah blog ini akan terus berfungsi tanpa sebarang masalah dan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Untuk makluman semua, kami daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMKUDQI) baru memulakan tugas kira-kira dua bulan. Kami terpaksa melewatkan gerak kerja MPM kerana terdapat kesulitan yang tidak dapat dielakkan. Bayangkan sepanjang tempoh kami berkhidmat banyak cabaran dan masalah yang kami tempuh. Pada masa itu, perkara yang paling penting pada kami ialah mengemaskini dan memperkukuhkan organisasi kami. Oleh itu, kami merancang dengan mengadakan program pertama MPM, iaitu “Sehari bersama MPM”. Dalam program itu kami meminta mahasiswa membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan KUDQI, MPM, dan mahasiswa. Natijahnya, kami mendapat keputusan bahawa misi kami pada tahun ini ialah “memperkasakan rohani dan disiplin” yang akan ditekankan kepada kami sendiri dan semua mahasiswa KUDQI. Kami berharap agar pertolongan daripada Allah serta sokongan dan dorongan yang padu daripada penasihat MPM, pensyarah-pensyarah, seluruh mahasiswa KUDQI, waris-waris kami, sahabat-sahabat dan semua yang dikenali akan menguatkan lagi semangat dan usaha kami untuk terus menjalankan amanah ini.



Mohd Khairul Bin Kamaruddin

Pengerusi Lajnah Informasi.



Ucapan pengerusi lajnah informasi

Alhamdulillah, bersukur kita ke hadrat Ilahi kerana Dia telah mengurniakan bermacam-macam nikmat-Nya kepada kita. Antaranya nikmat Islam dan iman. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad saw kerana melaluinya kita mengenal islam, iman dan ihsan. Oleh itu, kita sebagai umatnya harus meneruskan perjuangannya kerana kita ialah mata-mata rantai yang menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini supaya ditadbir mengikut perintah-Nya.

Allah telah mewajibkan kita menunaikan solat lima waktu. Dalam solat, jika kita membaca doa iftitah, maka terdapat salah satu daripadanya ungkapan yang bermaksud, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku kerana Allah Taala.” Oleh itu, fahamlah kita bahawa setiap perbuatan kita daripada zahir mahupun yang tersimpan dalam hati diketahui, dilihat, diawasi dan sebagainya oleh Allah. Sebenarnya kita telah berjanji di hadapan Allah untuk mengabdikan diri kepada-nya. Keyakinan ini mestilah secara total atau 100%.

Salah satu pengabdian yang telah kita ikrarkan kepada-Nya ialah mewakafkan diri demi perjuangan Islam. Kita mesti sanggup berkorban harta, tenaga, masa, jiwa dan raga. Inilah pergorbanan yang sepatutnya dilakukan semasa berjihad. Jihad tidak hanya terhad pada mengangkat senjata. Jihad mempunyai pengertian yang luas termasuklah menuntut ilmu dan mengajarkannya, menyampaikan dakwah dan sebagainya.

Sebagai contoh, kita boleh menggunakan medium ini, iaitu blog untuk menyampaikan perkara-perkara yang baik dan menyatakan cegahan bagi perkara-perkara yang mungkar. Selain itu, kita boleh bertukar-tukar fikiran atau maklumat tetapi perkara yang dibincangkan itu tidak mengfokuskan hal-hal furuk sahaja. Sebaik-baiknya blog ini dimanfaatkan untuk membincangkan masalah, kepentingan dan keperluan umat masa kini. Tujuannya supaya kita akan nampak kekuatan yang harus diusahakan manakala kelemahan pula harus diatasi.

Sekali lagi perlu ditekankan bahawa kita mesti berjihad kerana musuh-musuh Islam sedang berusaha menghancurkan kita terutamanya kepada golongan muda. Mereka menyerang kita melalui serangan pemikiran. Justeru, akidah yang mantap, iman yang kental, roh dan jiwa yang kuat merupakan senjata ampuh dan benteng pertahanan yang utuh bagi melawan serangan tersebut. Oleh hal yang demikian, ana menyeru kepada diri ana dan antum semua supaya muhasabahlah diri, nilai semula perkara baik dan buruk, jangan lupa dan alpa, dan berhati-hati pada setiap tingkah-laku kita.

Akhirnya saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kerja-kerja menyiapkan blog ini dengan jayanya. Segala yang baik itu adalah daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada daripada hamba-Nya yang lemah ini. Semoga dengan terhasil blog ini sedikit sebanyak dapat memberikan manfaat untuk semua dalam menyebarkan kebenaran dan dakwah Islam. Wallahua’lam.



Mohd Khairul Bin Kamaruddin

Pengerusi Lajnah Informasi.